Salman Al-Farisi
tergolong sebagai salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Beliau berasal dari
negeri Parsi. Pernah di masa hidupnya, Salman telah diberi jawatan sebagai
Gabenor di salah sebuah jajahan takluk Islam. Namun demikian kedudukannya itu
tidak sedikit pun mengubah keperibadiannya yang penyantun, rendah diri, serta
zuhud terhadap kemewahan dunia.
Pada suatu hari, diriwayatkan seorang rakyat awam tanpa mengenali Salman terus
menariknya secara kasar lalu menyuruhnya melakukan suatu kerja yang berat.
Orang itu menjumpai Salman ketika berada di tepi jalan. Ia mempunyai sebuah
karung besar lalu menyuruh Salman memikulnya sampai ke rumah. Tanpa banyak soal
Salman terus memikulnya.
Di pertengahan jalan, seorang lelaki telah memberi salam kepadanya. Alangkah
terkejutnya melihat Salman memikul karung. Lalu berkata: "Wahai tuan!
Tahukah tuan bahawa orang yang memikul karung tuan itu adalah Salman Al-Farisi,
Amir negeri kita ini." Terkejut lelaki itu mendengarnya, apabila
dikenangkan orang yang dikasarinya itu adalah gabenornya sendiri. Lantas dia
meminta maaf lalu menyuruh Salman menurunkan karung yang sedang dipikulnya
itu.
Tetapi Salman menjawab: "Oh tidak mengapa tuan. Biarlah saya memikul
barang tuan ini hingga sampai ke rumah tuan". Demikianlah ketinggian budi
pekerti Salman Al-Farisi, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak
mementingkan darjat kedudukan.
Ditulis oleh Unknown
Rating Blog 5 dari 5