Seorang ahli ibadah
bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia
selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada
orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang
selalu dirasakan kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan
bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan
solat?"
Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan
batin."
Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"
Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua
anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan
tujuh perkara :-
1. bertaubat
2. menyesali dosa yang dilakukan
3. tidak tergila-gilakan dunia
4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5. tinggalkan sifat berbangga
6. tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. meninggalkan sifat dengki
Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan
semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan
aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di
sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula
bahwa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku
menganggap bahwa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat
dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa dalam solat kufahami maknanya, kemudian aku ruku' dan
sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku
memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30
tahun."
Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang
baik bila dibandingkan dengan Hatim.
Ditulis oleh Unknown
Rating Blog 5 dari 5