Seorang pemuda sedang
dalam satu perjalanan yang jauh, berasa amat letih. Dia pun berhenti berehat di
satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya mencari makan di situ. Oleh
kerana keletihan, pemuda itu tertidur di bawah pokok. Kudanya yang kelaparan
merayau di satu kawasan ladang dan meragut tanaman di situ. Tidak berapa lama
kemudian, sang petani yang memiliki ladang itu pun balik. Melihatkan habis
tanamannya musnah, petani itu hilang kesabaran lalu membunuh kuda yang memakan
tamannya.
Apabila terjaga dari tidur, pemuda itu mencari kudanya. Puas dia mencari tidak
juga berjumpa. Akhirnya dia ternampak bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat
keadaan itu, dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia terus meluru
ke sebuah rumah berhampiran.
Sebaik saja menjumpai tuan rumah, dia terus menghamun dan berlakulah pergaduhan
dan akhirnya petani itu terbunuh. Peristiwa itu diketahui orang ramai. Pemuda
itu dibawa berjumpa khalifah untuk diadilkan. Mengikut hukum qisas, bunuh
dibalas dengan bunuh. Khalifah memerintahkan supaya dia dipenjarakan sehari
semalam sebelum dia dipancung pada jam 5:00 keesokan petangnya. Pemuda itu
merayu supaya dia dibenarkan balik dahulu berjumpa ibunya untuk menyelesaikan
satu perkara yang amat mustahak.
Khalifah tidak meluluskan rayuan pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berputus
asa dan terus merayu sambil menyatakan dia mempunyai tanggungjawab yang mesti
diselesaikan sebelum dia dihukum bunuh. Dia berjanji akan balik segera sebaik
saja urusannya selesai. Khalifah meminta pandangan waris si mati. Anak petani
itu tidak mengizinkan pemuda itu pergi kerana bimbang dia tidak akan datang
lagi untuk menerima hukuman mati.
Berkali-kali pemuda itu merayu dan bersumpah akan datang semula, namun tiada
seorangpun menunjukkan tanda simpati. Akhirnya tampil seorang tua menuju
mengadap khalifah menyatakan kesanggupan untuk menjadi tebusan bagi membolehkan
pemuda itu balik ke rumah. Orang tua itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Zar,
seorang sahabat Nabi yang banyak merawikan Hadith. Melihat apa yang berlaku,
semua hadirin tercengang dan sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana
tindakannya yang membahayakan diri sendiri. Abu Zar berjanji untuk menjadi
tebusan dan membenarkan pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat
kejadian ini, pemuda itu menjadi tenang dan mengikat janji bahawa dia akan
pulang semula untuk pancung sebaik sahaja urusannya selesai. Abu Zar faham
kegagalan pemuda itu menunaikan janji akan mengakibatkan nyawanya tergadai.
Ketika ditanya Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan
membahayakan, Abu Zar menerangkan demi keluhuran Islam, dia sangat malu melihat
tiada siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda asing itu dalam
kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu dibenarkan pulang ke rumah sementara Abu
Zar pula dikurung di penjara. Pada keesokan petangnya, penuh sesak manusia
menuju ke istana khalifah untuk menyaksikan episod yang mencemaskan. Ramai
menganggap Abu Zar akan dibunuh kerana kemungkinan besar pemuda itu tidak akan
datang menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saat yang mendebarkan berlaku
apabila beberapa minit lagi jam lima petang, pemuda itu masih belum tiba. Abu
Zar dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu menghadirkan diri akan
menyebabkan Abu Zar menjadi mangsa.
Di saat terakhir, orangramai melihat kelibat seorang lelaki menunggang seekor
kuda dengan amat kencang sekali. Ketika itu riak cemas orangramai bertukar
menjadi reda. Tepat sekali bagaimana dijanjikan pemuda itu sampai genap jam
lima petang. Pemuda itu lantas turun di hadapan Khalifah seraya meminta maaf
kerana 'terlambat' menyebabkan suasana tegang dan cemas. Pemuda itu menerangkan
sepatutnya dia sampai lebih awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus
di tengah perjalanan. Dia menerangkan urusan yang dikatakannya amat penting
dulu ialah kerana terpaksa menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga harta
anak-anak yatim dan menyerahkan tugas itu kepada ibunya. Pemuda itu berjumpa
Abu Zar untuk mengucapkan terimakasih di atas kesanggupannya menjadikan dirinya
sebagai tebusan. Selepas itu dia segera ke tempat dilakukan hukuman pancung.
Ketika pengawal hendak menghayun pedangnya, tiba-tiba anak petani dengan suara
yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan rela hati dia memaafkan kesalahan
pemuda itu. Mendengar kata-kata anak petani itu, pemuda itu amat lega dan terus
sujud tanda syukur kepada Allah.
Ditulis oleh Unknown
Rating Blog 5 dari 5